Kisah Teladan Percintaan - Episod Dua

Seusai kerja-kerja membaiki bot, aku melepak dibawah pokok kelapa yang aku buatkan buaian di tengah-tengahnya; di antara dua batang pokok. Badan yang berpeluh memberikan satu nikmat dikala angin bertiup nyaman di celah-celah buaian itu. Terasa nyaman sekali. Peluh itu satu nikmat, angin itu pun satu nikmat. Keadaan sebegini membuatkan aku mendapat ilham untuk menulis sajak.

Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. "Kringgg!!!"

"Hello U, jom makan di rumah I petang ni? Bolehlah I tunjukkan U dekat parents I".

"Saya sedang bekerja. Nantilah saya fikirkan bagaimana".

"U janganlah kuat sangat bekerja tu. Kerjamu itu tak mendatangkan rezeki. Tetapi rezeki itu mendatangkan pekerjaan".

"Tapi saya perlu kumpulkan duit untuk masa depan saya".

"Meet me at my house at 2 pm. Don't be late, they wait for U".



Itulah makwe aku di dalam panggilan telefon. Suaranya bagus. Matanya lawa. Mukanya ayu. Percakapannya juga baik dan juga fasih dalam bahasa Inggeris.


Usai solat zohor terus aku bersiap dengan ala kadar sahaja. Sebagai seorang lelaki yang seperti Daniel Craig, aku tidak mengenakan sebarang bahan kimia di badanku. Kalau perlu, aku mengenakan sedikit deodorant dan memberus gigi; jika perlu.


                                                                                  ******

Aku tiba di hadapan rumahnya. Terus menghantar pesanan ringkas kepadanya dari luar rumah.

"Eh, U!!! Masuklah dulu. Ibu I sedang menyiapkan makanan untuk kita makan bersama sebentar lagi".

Aku pun masuk ke dalam rumah dengan seadilnya. Aku lantas menyalam ayahnya yang sedang membaca surat khabar. Rumahnya tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Muat untuk orang sepertinya berlari-lari di dalam. Ayahnya menanyakan tentang pekerjaan aku sekarang. Kami berbual kosong sambil dia menghulurkan rokok kepada aku.

"Jemputlah makan!". Dia memanggil kami untuk makan bersama.

Usai makan. Kami sambung perbualan kami di ruang tamu bersama ayah dan ibunya. Kami berbual kosong menanyakan soal pekerjaan dan masa depanku. 

"Eh, jom kita duduk di luar. Udara lebih baik di luar". Dia menarik tanganku. Aku merelakan diri mengekorinya. Aku meninggalkan ibu dan ayahnya di ruang tamu.

Kami melepak di bawah pokok mempelam yang rendang. Seorang pakcik sebelah rumah nampak kami duduk berehat di bawah pohon rendang itu. Dia senyumkan saja.

"Jiran I di sini semua baik-baik belaka. U jangan risaulah. Di sini mereka memanggil saya dengan panggilan 'Adik Manis'. Hairan I. I tak tergamak nak memanggil mereka dengan panggilan 'Pakcik Mesra' atau 'Makcik Riang'.

Perbualan kami terhenti seketika seusai dia melihat kepala motorsikal aku di hadapan rumahnya. Aku memakirkan motorku sedikit jauh dari rumahnya.

"Itu milik awak?"

"Ya. Itu motorku. Nanti bolehlah saya bawa awak bersiar-siar di kampungku menikmati pemandangan dengan menaiki motorsikal itu. Kuasa kudanya tinggi. Seperti awak menunggang 250 ekor kuda".

"Wahh!! Sudah lama I impikan pengalaman sebegini. Nanti U bawakkan I keliling satu dunia bersama motor ini ya?". Dia amat girang sekali.

Aku iyakan saja.

"Motor U ada radio dan pencucuk USB?"

Aku menggelengkan kepala.

Dia melemparkan senyuman yang manis dan hangat sekali kepadaku. Selepas pertemuan itu aku tidak mendengar lagi sebarang berita daripadanya.



Share:

0 comments

thank you for reading! :D